Monday, February 6, 2012

TEORI EVOLUSI, TEORI FUNGSIONALISME STRUKTURAL


1.1             Manusia mengalami perubahan, masyarakat semakin berkembang dan menjadi bertambah kompleks selaras dengan perubahan dalam persekitaran sosial. Begitu juga dengan kelompok suku kaum Orang Asli, evolusi juga berlaku terhadap kelompok ini. Walaupun begitu terdapat beberapa cara dan corak klasifikasi sosial dalam kepimpinan yang boleh dibincangkan mengenai suku kaum Orang Asli. Sebagai contoh, pemilihan pemimpin tidak semuanya  berasaskan melalui keturunan dan juga tidak melalui pemilihan dan tidak semua sub-etnik suku kaum Orang Asli yang ada ketua atau pemimpin dalam kelompok mereka sepertimana mengikut fungsi teori struktural kepimpinan. Sebagai contoh suku etnik Bateq. Di kalangan Orang Bateq tidak terdapat suatu sistem kepimpinan. Tidak ada orang dewasa yang akan memaksa orang dewasa untuk mengikut sesuatu sistem. Malah bagi Orang Bateq, suami juga tidak berkuasa ke atas isteri. Begitu juga ibu bapa tidak berkuasa ke atas anak-anak. Sekiranya ada sebarang permasalahan dalam kumpulan mereka, beberapa orang dewasa akan turut serta memberi buah fikiran untuk menyelesaikan masalah itu. Tetapi keputusan itu tidak semestinya dipatuhi. Oleh kerana faktor budaya mereka begini, mereka tidak mempunyai ketua dalam kalangan mereka. Prinsip atau behaviour Orang bateq menekankan keperluan untuk berkongsi dan saling membantu sesama mereka. Seperti contohnya hasil perburuan dari hutan dikongsi bersama. Oleh kerana itu kelaparan jarang berlaku dalam kumpulan ini. Orang Bateq berbeza dengan behavior Orang Mah Meri, Semai, Semelai, Temiar dan Che Wong yang banyak menerima evolusi daripada masyarakat setempat. Berikut adalah sosio budaya atau evolusi yang berlaku melalui faktor warisan atau asimilasi daripada masyarakat setempat.
 Mah Meri
Suku kaum etnik Mah Meri masih mengamalkan budaya dan adat resam serta pantang larang dan masih mengamalkan kepercayaan animisme kerana mereka percaya objek persekitaran seperti pokok, batu, pokok besar dan sungai dipercayai mempunyai kuasa baik dan jahat yang digelar orang halus atau moyang dan mereka mengambarkan hantu sebagai kejahatan. Suku etnik Mah Meri melantik ketua yang digelar Batin dalam kalangan keluarga mereka bagi menangani masalah hubungan dengan kematian dan adat istiadat. Jawatan Batin merupakan jawatan tertinggi. Struktur organisasi lazimnya diwarisi secara keturunan dan disandang sepanjang hayat. Batin bertangungjawab dalam hal urusan nikah kahwin dan sebagai ketua adat. Batin akan dibantu oleh Jenan yang bertanggungjawab sebagai penasihat dan mengambil alih tugas Batin sekiranya tiada Batin. Dalam kelompok Mah Meri juga terdapat penghulu yang meyelaraskan kegiatan kampung dan sebagai saksi dalam upacara nikah kahwin. Jukrah pula bertindak memberi arahan dalam melaksanakan aktiviti kampung dan keluarga manakala Penggawa bertindak sebagai penasihat, penyiasat, pendakwa dan akhir sekali Laksamana akan membantu melaksanakan apa juga arahan daripada jawatan kuasa.  
Semai
Suku kaum etnik Semai hidup bermasyarakat. Sebuah kampung biasanya terdapat di antara 60 hingga 300 penduduk yang diketuai oleh seorang penghulu atau Batin yang dilantik dari golongan berpengaruh seperti pawang, bomoh dan ketua adat. Dahulunya jawatan Batin disandang secara turun temurun namun kini banyak evolusi telah berlaku dalam sistem sosial mereka. Kini perlantikan jawatan Batin mestilah berdasarkan kriteria-kriteria tertentu. Antaranya mempunyai ilmu kebatinan, berkebolehan berinteraksi dengan masyarakat luar, bertanggungjawab dan aktif, bersikap prihatin, penyabar dan jawatan tersebut mendapat pengesahan oleh pihak kerajaan. Dahulunya Batin hanya perlu menjaga kumpulan dan kelompok sendiri namun kini Batin bertanggungjawab ke atas perhubungan dengan masyarakat luar dan agensi kerajaan.    
Semelai
Suku kaum etnik Semelai ini kehidupan mereka tidak jauh bezanya dengan masyarakat Melayu. Mereka juga mempunyai susun lapis masyarakat dan sistem kepimpinan yang agak kompleks serta tersusun dan ada nilai dari teori fungsionalisme struktural. Lantikan Batin, Menteri, Penghulu, Ketua Kampung, Jurukerah dan Setin dipilih mengikut kriteria keturunan iaitu anak lelaki sulung, perlu tahu adat resam dan berwibawa serta mesti pandai menggunakan bahasa adat ‘bertawara/bermisal’ yang bermaksud berbahasa dengan sopan, lembut dan halus sama ada mahu menyindir, menegur dan memuji.  
 Batin berkuasa memegang adat, memutuskan adat, menjatuhkan hukum dan sebagainya dalam urusan nikah kahwin, cerai dan kematian. Suku kaum Semelai juga mempunyai Menteri, Penghulu, Ketua Kampung, Jurukerah dan Setin iaitu pembantu bagi jurukerah bagi menjalankan kerja-kerja membuat rumah, bergotong royong dan sebagainya.
Temiar
Pemilihan penempatan suku kaum Temiar biasanya ditentukan oleh penghulu. Penghulu akan berhalaq (jampi) atau melalui mimpi. Biasanya tempat yang hendak didiami mestilah jauh dari tanah perkuburan, bebas daripada adanya kayu keras seperti “merbau” dan sebagainya. Ketua suku kaum Temiar dikenali sebagai Penghulu. Jawatan penghulu diwarisi mengikut keturunan. Penghulu dilantik melalui Jawatan Kuasa Kerja Kampung (JKKK). Kuasa penghulu tidak terikat kepada pantang larang dan adat resam kaumnya. Penghulu berperanan sebagai hakim, penasihat dan penghubung dengan masyarakat serta agensi luar. Perpecahan kuasa penghulu boleh berlaku sekiranya ada di antara keluarga yang tidak bersetuju dengan kepimpinannya. Kuasa penghulu juga akan gugur jika beliau mengasingkan diri dengan berpindah ke petempatan baru.

No comments:

Post a Comment