Orang Asli











ELEMEN-ELEMEN BUDAYA
Bagi mengenal pasti maksud budaya, kita hendaklah memikirkan apakah perkara-perkara yang wujud didalam budaya tersebut. Pemahaman terhadap lima elemen budaya ini akan membantu kita mengenali dan menyedari bahawa walaupun semua budaya ada elemen yang sama tetapi elemen-elemen ini berbeza antara satu budaya dengan budaya yang lain. Antara lima elemen ini kita boleh melihat teori-teori yang ada persamaan dan perbezaan serta kaitannya dengan komunikasi.
 Sejarah
Sejarah adalah peristiwa yang telah berlaku pada masa lepas dan ia disambungkan dan disampaikan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Peristiwa masa lampau memberi identiti kepada sesebuah bangsa bagi membuktikan asal usul budaya dan segala pencapaian yang berjaya dicapai oleh budaya bangsa berkenaan. Sebagai contoh hasil daripada sejarah bangsa Britain, England adalah negara yang tertua di Eropah. Ia bermula dengan masyarakat zaman batu yang dipanggil neanderthal 230,000 tahun dahulu. Masyarakat Britain membangun dengan terbentuknya suku kaum belgae seperti Atrebates dan Catuvellauni. Kemudiannya, selepas penaklukan bangsa Rom pada kurun 43 SM maka terbentuklah penempatan Anglo-saxon.; Anglo-saxon juga dianggap sebagai penduduk asal England dan juga orang Inggeris sejati. Manakala bagi masyarakat orang kulit hitam Afrika iaitu seperti masyarakat British Ghana, ialah mereka yang asalnya para pendatang dari Ghana. Masyarakat British Ghana telah datang ke England pada kurun ke 16 bermula dengan pembawaan orang-orang Afrika ke London oleh saudagar yang bernama John Lok pada tahun 1555. Para pendatang ini telah dilatih sebagai jurubahasa untuk membantu perdagangan antara England dengan perairan barat Afrika. Namun demikian dengan banyaknya permintaan rempah seperti lada hitam di Eropah, John Hawkins pada tahun 1562 telah mengorganisasikan satu pelayaran ke Barat Afrika untuk mendapatkan orang-orang Afrika dalam bentuk tawanan. Bermula dari itu, maka terwujudlah kebanjiran pendatang Afrika yang asalnya diseludup secara haram melalui perdagangan manusia. Berbanding dengan suku kaum orang asli iaitu Suku Kaum Bateq di Semenanjung Malaysia, yang terdiri daripada suku bangsa Negrito yang terdapat di sekitar bahagian Hulu Sungai Tembeling, Sungai Kenchau, Sungai Aring di Kelantan dan Sungai Berua di Besut Terengganu. Suku kaum Bateq adalah sama seperti Orang Negrito dari Kepulauan Andaman, Filipina, Selatan Negara Thai. Suku kaum Bateq adalah tinggalan penghijrahan zaman paleolitik (Zaman batu lama) yang melalui Semenanjung ke arah Kepulauan pasifik. Suku kaum Bateq berbeza dengan nilai budaya Suku kaum orang asli Semelai yang terdapat di Pahang tengah seperti tasik Bera, Sungai Bera, di sempadan Pahang menghala ke Negeri Sembilan dan Sungai Lui dan Ulu Muar. Suku kaum orang asli Semelai adalah dari suku Bangsa Melayu Asli (Proto Melayu). Dari segi rupa bentuk fizikal orang asli tidak banyak bezanya dengan orang Melayu.
 Agama
Budaya dan agama saling berkaitan. Setiap budaya mempunyai agama dominant. Agama mempengaruhi ritual, penceritaan, taboo dan istiadat dalam sesebuah budaya. Walaupun mempunyai agama yang berbeza namun terdapat persamaan yang wujud pada setiap agama, sebagai contoh kitab suci. Selain itu setiap agama juga mempunyai pengasas agama dan agama juga mempunyai amalan tradisional ritual atau sebarang perlakuan yang menandakan simbol atau mesej agama dalam amalan. Sebagai contoh bagi masyarakat British, mereka adalah penganut agama Kristian dan memegang kuat kepada Kitab Injil. Di England walaupun majoriti masyarakatnya anutan agama Kristian namun kebanjiran pendatang asing telah membawa masuk agama-agama lain seperti Islam, Hindu, Neo-pagan, Sikh, Judais dan Budhha. Menerusi arus perkembangan tamadun pemikiran, banyak lagi kegiatan keagamaan yang dimodenisasikan oleh kumpulan-kumpulan kecil tertentu termasuk fahaman Baha’i, Rastafari, Neo-Paganisme, Rasionalisme, Humanisme, Atheis dan Sekularisme. Manakala masyarakat yang berugama Kristian dipisahkan kepada empat ikutan iaitu Anglican 62% (adalah agama tertua atau dipanggil ortodoks) Roman Khatolik 13.5%, Presbyterian 6% dan Methodis 3.4%.  Bagi masyarakat British Ghana yang berkulit hitam pula, mereka terbahagi kepada enam golongan etnik iaitu Akan (Ashanti dan Fanti) Ewe, Ga-adangbe, Mole-Dagbani, Guan dan Gurma yang mana telah masuk ke England dan mempraktikkan ugama mereka di sana. Ugama tradisi masyarakat Ghana, sebelum kedatangan Kristian dan Islam lebih kepada kepercayaan berbentuk kosmologi iaitu sama seperti animisme bagi kaum orang asli di Semenanjung Malaysia iaitu mengekspresikan kepercayaan kepada Yang Berkuasa (sebagai contoh suku Akan menamakannya sebagai Nyame manakala suku Ewe sebagai Mawu). Yang Berkuasa ini adalah satu kepercayaan yang lain dari ugama kebiasaan di mana ia tidak dipuja secara terus. Ini termasuk pemujaan Tuhan-tuhan yang menduduki tempat-tempat seperti sungai-sungai, Pokok, gunung ganang dan arus. Dunia-dunia yang biasa dan suci disatukan oleh satu rangkaian berbentuk hubungan-hubungan dan tanggungjawab yang saling bergantungan. Ini dapat dibuktikan apabila terdapat satu pengabaian ia akan boleh membawa bencana kepada suku kaum ini. Oleh itu, bagi mengatasi sebarang bencana akibat daripada sebarang pengabaian, ia akan melakukan upacara pada waktu-waktu tertentu seperti upacara Od Wira yang dilakukan oleh Suku Akan. Upacara Homowo oleh suku Ga-adambe dan upacara Aboakyir oleh suku Efutu. Daripada kepercayaan animisme inilah maka terbentuknya cara-cara pengubatan dengan menggunakan herba dan ramalan. Walaupun begitu apabila adanya pengaruh Islam dan Kristian, maka terbentuk pula agama secara synkretik iaitu kepercayaan yang menggabungkan unsur magis dan ramalan dan elemen dalam agama Kristian dan juga Islam. Persamaan ini sama dengan suku kaum orang asli Bateq dan Semelai cuma bezanya amat sukar suku kaum Semelai dan Bateq ini dipengaruhi oleh elemen Islam dan Kristian kerana corak hidup dan budaya mereka masih kuat dan masih tinggal di dalam hutan dan ada sesetengahnya masih belum dipengaruhi oleh proses asimilasi. Mereka memegang fahaman agama animisme iaitu percaya kepada pengaruh alam atau sumber hutan yang telah menolong mereka hidup seperti tanah, air, angin, api dan tumbuh-tumbuhan yang telah mengubati penyakit mereka dan memberi mereka makan dengan menganggap pokok itu sebagai tuhan mereka. Mereka tidak melakukan amalan penyembahan tetapi melakukan semah sebagai contoh semah tanah seperti menabur beras hitam, darah binatang, daun-daun yang dipercayai berazimat ketika mahu membuka ladang atau petempatan. Bagi masyarakat suku kaum orang asli Mah meri pula, tuhan mereka di laut dipuja. Akan ada satu hari perayaan iaitu di panggil upacara puja pantai di buka ketika bulan mengambang. Dipercayai, mereka melakukan adat ini adalah untuk memanggil dan mengucapkan terima kasih kepada roh nenek moyang. Mereka berarak ke tepi pantai, untuk upacara puja pantai kerana menganggap tuhan di laut telah memberi rezeki hasil daripada makanan laut kepada mereka. Tok batin akan diangkat di atas tandu diarak dan diletakkan di atas palong yang tinggi. Tok batin akan menabur beras, bunga-bungaan dan lain-lain ke dalam laut sambil berdoa agar terus memberi hasil laut kepada mereka dan selamat daripada bala bencana. Suku kaum Mah meri ini amat takut kepada bala bencana. Bagi masyarakat suku kaum orang asli Semelai, mereka mempercayai adanya tuhan yang mencipta sekalian alam. Kaum Semelai juga mempercayai adanya Hari Kiamat, Syurga dan Neraka serta Mungkar dan Nakir. Orang Semelai juga percaya akan berdosa ‘Pakak’ jika melakukan perkara yang tidak baik dan dilarang.
 Nilai
Budaya dan nilai mempunyai satu hubungan yang kuat. Daripada nilai dapat mencerminkan perlakuan sesebuah suku etnik dan bangsa. Melalui kajian perbezaan  komunikasi antarabudaya, dapat dilihat di sini menunjukkan perlakuan yang berbeza dalam situasi yang sama. Contohnya, bagi masyarakat British yang masih mempercayai ketuhanan mereka menganggap seseorang yang taat kepada ugama sebagai orang yang baik (alim) dan mereka mempraktikkan dalam perniagaan dan kehidupan sosial. Apabila mereka melakukan upacara sembahyang, mereka umpama sebuah kumpulan yang konservatif dan perkara-perkara yang berkaitan ugama dianggap sesuatu yang suci dan dipelihara di bawah pentadbiran undang-undang. Bagi mereka yang mengikut aliran fahaman agama baru seperti Judaisma yang dipelopori oleh orang-orang yahudi, mereka menganggap bahawa kerja-kerja bersifat sukarelawan sebagai sesuatu yang tidak perlu mengikut ketua-ketua agama mereka. Ini langsung mencetuskan perbalahan dan rusuhan antara masyarakat yang berbilang agama di England. Manakala pengikut Neo-paganisme, mereka menganggap bahawa mereka itulah yang paling suci dalam semua masyarakat dan juga dipanggil sebagai para neo-druids. Bagi masyarakat di England khususnya dalam kajian saya di London, untuk mendapatkan nilai yang baik dalam generasi mereka, subjek keagamaan menjadi sesuatu yang wajib dipelajari dalam setiap kokurikulum. Tetapi dikhususkan melalui pandangan Kristian sahaja. Justeru itu, kanak-kanak dipupuk dengan pengetahuan ugama secara pelajaran ilmiah ataupun secara muzikal dilakukan dikebanyakan sekolah-sekolah yang dibiayai oleh gereja-gereja semenjak mereka kecil. Namun begitu, penghormatan kepada mereka yang lebih tua lebih diperuntukkan kepada mereka yang berpengetahuan di dalam agama Kristian. Dalam hal yang lain, setiap etika berpakaian mestilah tidak menunjukkan lebih kepada unsur keagamaan bagi mengelakkan diskriminasi antara ugama. Nilai penting hasil daripada praktik ugama juga, setiap anak-anak mesti dididik untuk berdikari sendiri daripada harta yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka. Bagi mereka yang telah berkahwin, sebelah pihak isteri atau suami juga dianggap sebagai kaum keluarga sendiri. Ugama juga memberi nilai dan memartabatkan kepada kerja-kerja seni seperti seni lukis, muzik, grafik dan sastera. Nilai ugama ini telah membantu mengangkat dan menjana ekonomi dan menjadi satu dana yang penting dalam pembangunan England. Berbeza dengan masyarakat kulit hitam Ghana di London, agama tradisi mereka menjadi pencetus utama kepada nilai keindahan hasil seni dan pakaian mereka. Ini dapat dilihat daripada hasil corak dan kraftangan yang berbentuk peralatan yang diukir patung yang melambangkan kesuburan dan juga corak pakaian kente yang berwarna-warni. Berkenaan pakaian Kente, ia terdiri daripada kain yang disulam dengan jalur yang mempunyai corak yang kompleks. Kebiasaannya diperbuat daripada benang kapas yang biasa digunakan di luar lebih-lebih lagi digunakan oleh kaum lelaki yang seringkali dipakai dalam upacara keugamaan. Nilai juga dapat dilihat apabila ada berlaku kematian dan pengebumian, seluruh suku kaum Ghana akan memperuntukkan segala material dan simpanan mereka untuk upacara tersebut. Nilai daripada ugama tradisi juga ada menganjurkan festival-festival berbentuk upacara keugamaan seperti upacara Ade dan lain-lain, nenek moyang suku Akan akan dihormati. Manakala dalam aktiviti upacara tahunan bagi suku kaum Homowo pula, yang selalu dilakukan oleh suku Ga-adangbe dipaksa pulang ke daerah masing-masing untuk berkumpul bersama dan menyambut ahli keluarga yang baru serta mengingati ahli keluarga yang telah mati. Ini adalah sistem sosial masyarakat Ghana bagi menghormati nilai budaya keturunan mereka dalam menjaga dan mengekalkan sistem keluarga. Semua ini akan dipantau oleh orang-orang tua mereka. Berbeza dengan suku kaum orang asli Bateq, mereka tidak ada nilai dalam sistem kepimpinan. Ini bermaksud tidak ada orang dewasa yang dapat memaksa orang dewasa yang lain untuk mengikut sesuatu sistem. Malah suami tidak berkuasa ke atas isteri. Begitu juga ibu bapa tidak berkuasa terhadap anak-anak. Walaupun beberapa orang dewasa dalam kumpulan turut membantu membuat keputusan namun keputusan tersebut tidak semestinya dipatuhi. Oleh kerana itu suku Bateq tidak mempunyai ketua. Walaupun begitu terdapat beberapa nilai yang baik dalam suku Bateq iaitu mereka perlu berkongsi dan saling membantu di kalangan yang tinggal bersama-sama. Makanan buruan seperti daging hendaklah dikongsi bersama. Oleh kerana itu kelaparan jarang berlaku dalam suku kaum mereka. Ini berbeza dengan suku kaum orang asli Semelai, orang Semelai amat hormat pada ketua dan tetamu. Tetamu baru yang datang dipersilakan duduk. Dijamu rokok dan tembakau atau sireh pinang ‘sen tep’. Tetamu pula hendaklah membalas dengan menyuakan rokok dan tembakau dengan secara merendahkan bekas tembakau. Tuan rumah (tanpa disedari tetamu) akan pergi ke dapur bagi menyediakan makanan dan minuman untuk tetamu. Selepas dijamu, barulah tuan rumah bertanyakan tujuan tetamu itu datang (tidak ditanya pada mula kedatangan tetamu itu kerana cara ini seolah-olah tidak suka tetamu berada lama di rumah). Tetamu hendaklah meminta diri untuk pulang. Jika tetamu tidak memberitahu hendak pulang, perbuatannya dianggap tidak sopan. Jika terserempak dengan orang di perjalanan, orang Semelai akan berhenti seketika untuk bertegur sapa, bertanyakan khabar sambil menyuakan tembakau atau rokok. Manakala ketika lalu di tempat mandi, seperti sungai, perigi atau telaga, seseorang itu hendaklah memberi isyarat bahawa ada orang yang akan melalui di tempat mandi mereka. Ini bertujuan agar orang yang sedang mandi itu menyedari dan sempat bersedia seperti memakai pakaian atau menutup anggota badannya dari penglihatan orang berkenaan. Bagi masyarakat suku kaum Semelai juga, ketika seseorang sedang makan, kita tidak dibenarkan lalu di belakangnya. Hendaklah lalu di hadapan dengan menundukkan kepala dan menghulurkan tangan ke bawah, tanda meminta izin ‘tabik’. Sekiranya kita menjadi tetamu suku kaum ini, kita tidak dibenarkan duduk di tempat tidur tuan rumah apatah lagi di atas bantal.
 Struktur sosial
Setiap budaya mempunyai struktur sosial tertentu. Sistem sosial ini menwujudkan rangkaian komunikasi dan mentadbir norma peribadi, keluarga dan etika sosial. Kerajaan Great Britain adalah berbentuk sebuah kerajaan yang berasaskan sistem perlembagaan monarki. Perlembagaan monarki ini dikuasai oleh Gereja England mengikut akta perlembagaan 1701. Manakala kedaulatan negara pula bergantung kepada parlimen yang merangkumi kesatuan rakyat (house of commons), golongan bangsawan  dan raja. Namun kuasa yang lebih berpengaruh bergantung kepada kesatuan rakyat yang merangkumi 646 ahli yang dilantik daripada ahli-ahli kumpulan pengundi. Parti-parti daripada kesatuan rakyat terbahagi kepada dua iaitu Parti Konservatif dan parti Buruh. Budaya masyarakat England dalam seni bina, sastera, seni halus dan seni logam banyak dipengaruhi oleh Anglo-Saxon yang berteraskan prinsip ajaran agama Kritian yang ortodoks. Falsafah masyarakat England banyak dipengaruhi oleh cerita-cerita tradisi lisan mereka seperti Robin Hood, Lagenda Arthur dan juga kisah-kisah hikayat untuk dijadikan iktibar dan ikutan. Berbeza dengan suku kaum Bateq, organisasi suku kaum Bateq adalah mudah dengan kekerabatan dikira melalui ibu dan bapa. Perkahwinan dibenarkan antara sepupu walaupun tidak sesama kerabat rapat. Dengan demikian kebanyakan Orang bateq berkerabat melalui keturunan, perkahwinan dan kedua-duanya. Orang Bateq sering berkahwin pertama kali pada zaman remaja dengan pasangan yang dipilih sendiri. Perkahwinan di kalangan suku Bateq amat mudah, memadai si lelaki dan perempuan bersedia membina tempat perlindungan bersama. Biasanya lelaki memberi sesuatu kepada wanita dan ibu bapanya untuk mendapat perkahwinan itu. Gadis akan membalas pemberian pula. Terdapat kes perceraian di kalangan mereka dan berkahwin semula dengan orang lain sebelum menemui benar-benar pasangan yang kekal. Walaubagaimanapun selepas beranak pinak, jarang sekali pasangan itu bercerai. Sesebuah pasangan itu bekerjasama untuk mendapat keperluan keluarga. Biasanya isteri akan menyediakan makanan ubi dan ikan. Suami pula mencari beras dengan menjual rotan dan lain-lain hasil hutan yang dilakukan secara berkumpulan. Keluarga asas juga sebagai unit yang tersendiri, membuat keputusan sendiri dengan pasangan masing-masing walaupun mereka mengamalkan perundingan di kalangan mereka. Orang Bateq tinggal di pondok di panggil “ Pisang sesikat”. Setiap sebuah keluarga membina sebuah pondok untuk perlindungan. Remaja yang sama umur dan jantina mempunyai tempat perlindungan yang sama. Pondok didirikan secara sewenang-wenangnya tetapi berhadapan antara satu sama lain. Setiap rumah mempunyai unggun api yang tersendiri di hadapannya. Segala peralatan seperti pakaian, kain, tikar dan bakul disusun di dalam pondok. Manakala bagi peralatan yang kecil disangkut dibumbung pondok. Berbeza dengan suku kaum Semelai, struktur sosial suku kaum ini agak tersusun dan teratur. Suku kaum Semelai mempunyai sistem pentadbiran sendiri. Tok batin atau Batin adalah jawatan dalam sesebuah komuniti suku kaum Semelai. Bidang kuasanya adalah yang tertinggi dalam kampung. Jawatan kuasa peradatan, berkuasa memegang adat, memutuskan adat, menjatuhkan hukum, dan sebagainya berkaitan dengan nikah kahwin, cerai, kematian, dan hal-hal yang berkaitan dengan penduduk setempat. Tugas-tugas lain adalah seperti pentadbiran kampung, pembangunan kampung, keselamatan kampung dan menjadi perantara dengan masyarakat luar. Di dalam suku kaum Semelai, ada juga jawatan menteri yang bertindak menjadi penasihat batin. Penghulu pula adalah jawatan ketiga selepas batin dan menteri. Kemudian ketua kampung pula adalah jawatan keempat dalam struktur organisasi kepimpinan. Bidang kuasanya separuh daripada kuasa Penghulu. Jurukerah pula yang dipilih secara majoriti oleh penduduk kampung hendaklah membantu ketua kampung dalam menjalankan kerja-kerja yang diarahkan seperti membuat rumah dan bergotong royong. Dan akhir sekali dalam suku kaum Semelai terdapat gelaran Setin. Setin adalah pembantu jurukerah.
 Bahasa
Bahasa bukan hanya membolehkan ahli masyarakat dalam sesebuah budaya untuk berkongsi idea, perasaan dan maklumat, malah ia merupakan salah satu cara utama untuk meneruskan kelansungan budaya. Bagi masyarakat Britain, terdapat lapan dialek yang biasa diguna pakai selain daripada Bahasa Inggeris. Ini termasuk bahasa welsh, scots, irish, anglo romani, scottish gaelic dan shelta (gammon). Sebagai contoh perkataan ‘partick’ di stesen keretapi di Glasgow di sebut sebagai ‘partaig’ dalam dialek gaelic scot. Contoh yang lain, seperti di Cornwall utara, perkataan ‘welcome to Cornwall’ disebut sebagai ‘kernow a’gas dynnergh’ dalam dialek Cornish. Penggunaan bahasa di London bagi masyarakat British, mencerminkan tradisi-tradisi linguistik mereka. Ia juga mencerminkan pengaruh dan penguasaan keturunan Roman dan Anglo-saxon. Terdapatnya kontroversi antara dialek-dialek tadi, maka Bahasa inggeris digunakan sepenuhnya bagi memudahkan urusan-urusan rasmi kerajaan. Bagi masyarakat kulit hitam iaitu Ghana di London pula, mereka juga turut bertutur dalam Bahasa inggeris, Akan dan Perancis dalam berkomunikasi. Walaupun begitu dialek bahasa mereka terbahagi kepada sembilan dialek iaitu Akan ( Twi dan Fante), dagaara, dagbani, dangme, ewe, ga, gonja, kasem dan nzema. Bagi masyarakat suku kaum orang asli Bateq di Semenanjung Malaysia pula, mereka bertutur dalam bahasa Austraosiatik yang berbeza daripada bahasa Melayu dan golongan Austronesia. Mereka tergolong sebagai penutur rumpun bahasa Mon-Khmer tetapi kini telah banyak menerima kosa kata Melayu. Bagi suku kaum Semelai pula, banyak penggunaan bahasa juga dalam rumpun bahasa Mon-Khmer dan mereka juga menggunakan bahasa Melayu. Orang Semelai mengatakan bahawa mereka mudah bertutur dalam bahasa Melayu kerana mereka mempercayai bahawa mereka juga berasal dari Pagar Ruyong Sumatera. Pengucapan perkataan dalam bahasa Semelai terdapat tanda-tanda berhenti dan bergoyang serta bunyi kerongkongan. Bahasa Semelai tidak mudah untuk dipelajari. Makna di dalam setiap bahasa mereka mencerminkan mereka adalah orang zaman pra-sejarah yang bersifat pedalaman dan biasa dengan suasana hutan dan alam. Bagi suku kaum Semelai, selain mereka bertutur dalam bahasa Low- contaxt, mereka juga suka bersikap positif tentang haiwan dan tumbuh-tumbuhan liar di dalam hutan. Sebagai contoh, jika bertemu ular, mereka akan mengatakan “ ah, ular itu tidak akan gigit”. Jika bertemu pokok-pokok hutan, mereka akan mengatakan “ ah, pokok itu tidak beracun sebenarnya”.  Dapat dilihat di sini, perbezaan daripada masyarakat di Britain, Ghana dan Orang asli di semenanjung, apa yang mengubah corak dan bentuk bahasa mereka ialah bergantung kepada suasana tempat tinggal atau demografi mereka.  Berikut adalah contoh antara bahasa suku kaum Semelai,     
MELAYU                                                                                          SEMELAI
Boleh                                                                                                   But
Takut                                                                                                   Betong
Tuju                                                                                                     Tujuk
Sampai                                                                                                Dos
Tanya                                                                                                  Tanyak
Minta                                                                                                   Seman
Bangun                                                                                                Wah woh
Panggil                                                                                                pa-ngil
Beli                                                                                                      Belik
Cuci kain                                                                                             Pehek-pok kain
Basuh                                                                                                  Menyuchik
Mari                                                                                                     Lah tin nok
Minum                                                                                                 Je’oh
Jika berbincang mengenai bahasa suku kaum Semelai, perkara yang lebih penting dan menarik ialah intrepetasi bahasa mereka yang diimplimen dalam kehidupan seharian hingga menjadi satu bentuk budaya. Orang Semelai suka menyanyi ketika berjalan seorang di dalam hutan atau di tepi tasik terutama selepas hujan turun. Mereka juga suka menyanyi jika berasa gembira, dalam perkahwinan, dan dalam keramaian. Setiap lirik lagu mereka pasti berkenaan alam atau suasana mengikut perasaan dan signifikasi bahasa tersebut memberi stimatig kepada kehidupan mereka. Ini dapat dilihat di dalam contoh lagu-lagu dan pantun mereka. Sebagai contoh lagu satu burung bunyi.
Satu burung bunyi
            Sembilan hinggap di-rantang
            Patah bunyi gunoh menegoh
            Awan hujan ta’ada
            Kain dah basah.
Lagu satu perempuan risau, yang memberi maksud perempuan yang sedang mengopek kelapa tak semestinya duduk dan berfikir. Atau jangan termenung banyak.
Satu perempuan risau
            Ta’usah dudok di-hilir
            Korek tempurong si-dengan jari
            Tidak usah dudok berfikir
            Sa-umpama puntong si-dengan api.

Lagu ini pula bertajuk perempuan datang kita minta maaf.
Perempuan datang kita minta maaf
            Patak-patak si-bunyi kampong
            Mari petek si-hujung galah
            Tabak-tabak orang sa-kampong
            Kami ber-pantun banyak yang salah.
Selain lagu yang dinyanyikan sebagai pantun, ada juga pantun-pantun lain yang menjadi bahasa pertuturan seharian dan amalan dalam majlis-majlis tertentu. Sebagai contoh lirik laki ambil bini orang.

Laki ambil bini orang
            Menyeberang ka-Singapura
            Kapal api kami tambatkan
            Kalau baik budi bicara
            Sangkut suami kami-tolakkan!
Pantun tetamu untuk memberitahu hendak balik.
Mintak maaf kami nak balek
            Batang betek batang kekuran
            Anak merebah mandi di-dulang
            Tinggallah enche, tinggallah tuan
            Sembah mohon kami nak pulang.
Pantun ini maksudnya agak menarik. Tajuknya ialah pantun Orang Asli. Pantun ini memberi makna, jika nak mangkuk diberi mangkuk, jika nak nasi diberi nasi, jika nak pantun diberi pantun.
Pantun Orang Asli
            Hendak mangkok-ku-beri mangkok
            Mangkok ku-beri berisi padi
            Hendak pantun ku-beri pantun
            Pantun ada orang asli.